Ahad, 15 Oktober 2017

Nanthakumar popular, Azraai jurulatih pilihan



ARKIB : 10/09/2007

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan K. Nanthakumar walaupun gagal membantu Perak meraih sebarang trofi musim 2006-07, dipilih oleh para peminat bola sepak negara sebagai pemain paling popular manakala Mohd. Azraai Khor Abdullah yang memimpin Kedah menjuarai tiga trofi menjadi jurulatih pilihan.

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Dua anugerah untuk penjaring terbanyak turut dirangkul oleh pemain Perak iaitu Khalid Jamlus bagi kategori tempatan dengan 15 gol manakala Keita Mandjou bagi pemain import dengan 21 gol.

Khalid turut memenangi hati sebilangan besar pengundi apabila terpilih sebagai penyerang pilihan, mengalahkan penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli dan penyerang Kedah, Hasmawi Hassan.

Kedah, yang memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia menyaksikan tiga pemainnya merangkul anugerah lain.

Mohd. Helmi Eliza Elias dipilih sebagai penjaga gol pilihan manakala ketua pasukan Victor Andrag terpilih sebagai pemain pertahanan pilihan, mengalahkan pemain kebangsaan Norhafiz Zamani Misbah dan Nantha Kumar.

Seorang lagi pemain Kenari, Marlon James dari St. Vincent & The Grenadines terpilih sebagai pemain import paling berharga.

Pemain tengah kebangsaan dan Selangor, Mohd. Shukor Adan memenangi anugerah pemain tempatan paling berharga.

Ini merupakan kali kedua anugerah ini diadakan dan pemilihan pemenang, kecuali penjaring terbanyak, dibuat berdasarkan undian peminat-peminat menerusi SMS.

Sebanyak lima nama dicalonkan oleh pihak penganjur untuk pusingan awal manakala tiga ke peringkat akhir

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vZRbzj00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak, Kedah berentap di final

ARKIB : 05/09/2007
Pemain Kedah Nelson Sam Martin (dua dari kanan) menyempurnakan sepakan penalti menentang Terengganu di Alor Star, malam tadi. – Gambar ISMAIL KAMADIN.

KUALA LUMPUR – Dua gol menerusi bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berjaya membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke-18 selepas menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Perak, semalam.

Jaringan Khalid pada minit ke-10 dan 39 itu sudah cukup untuk membolehkan Perak menempah pertemuan dengan Kedah bagi penentuan juara pada Sabtu ini.

Perak layak menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Tawau, minggu lalu.

Kedah pula layak selepas menewaskan Terengganu 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Ternyata kelebihan beraksi di depan 25,000 penyokong sendiri digunakan sepenuhnya Perak untuk lebih dulu mendahului apabila Khalid yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hantaran lintang Yusri Che Lah hanya selepas 10 minit permainan bermula.

Bagaimanapun, Sabah tidak gelabah sebaliknya, mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk menyamakan kedudukan menerusi Zulamri Mohd. pada minit ke-32.

Gol yang seakan serupa dengan gol Khalid terhasil selepas Jul Amri menanduk masuk hantaran silang Zainizam Marjan.

Begitu pun, Perak hanya memerlukan tujuh minit selepas itu untuk kembali di depan apabila Khalid mudah menyambut bola muntah selepas penjaga gol Sabah, Irwan Jamil gagal menampan kemas sepakan kencang Yusri.

Namun, di sebalik kegagalan Irwan menyekat dua gol itu, Sabah harus berterimakasih kepadanya kerana menyelamatkan percubaan berbahaya Perak pada minit ke-21 dan 30.

Babak kedua, tiada gol berjaya dijaringkan dengan Sabah lebih banyak menguasai permainan tetapi sukar menembusi pertahanan Perak yang diketuai K. Nanthakumar.

Jika Khalid muncul wira buat Perak, lain pula nasib yang menimpa ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof apabila kesilapannya menghadiahkan dua gol mudah untuk Kedah mencatat kemenangan 2-0.

Gol pertama Kedah berpunca apabila Marzuki dilihat mengkasari dengan cuba menarik Marlon Alex James dalam kotak penalti.

Pengadil, Shokri Nor kemudiannya tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan dengan baik Nelson Sam Martin pada minit ke-4.

Marzuki sekali lagi menjadi punca kepada gol kedua Kedah pada minit ke-29.

Kawalan bola Marzuki yang longgar berjaya dihidu Hasmawi Hassan yang bijak merampasnya sebelum melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti.

Babak kedua permainan, Kedah yang turut mendapat sokongan moral daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan 38,000 penyokongnya mengendurkan asakan.

Bagaimanapun, Terengganu masih gagal mengambil kesempatan untuk mencipta gol sehingga tamat permainan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vYoRCZ7y
© Utusan Melayu (M) Bhd