Ahad, 10 Disember 2017

Khalid yakin Kelantan bakal digeruni lawan

ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR - Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berazam untuk merealisasikan hajat pasukan barunya, Kelantan untuk muncul sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan bola sepak tempatan.

Menurut bekas pemain Perak itu, dia yakin Kelantan mampu mencapai sasaran untuk merangkul satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan berdasarkan gabungan pemain yang terdiri daripada anak jati Kelantan, bintang muda serta pemain berpengalaman.

Katanya, misi pertama bersama Kelantan ialah membantu pasukan Kijang layak ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.

''Saya optimis terhadap kemampuan Kelantan untuk muncul sebagai salah satu pasukan yang mampu mencabar pasukan elit dalam kancah bola sepak tempatan.

''Sebagai pemain profesional saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan yang saya wakili.

''Saya tidak kisah beraksi dalam Liga Perdana bersama Kelantan kerana ia tidak kurang hebatnya.

''Walaupun beraksi dalam Liga Perdana, Kelantan masih berpeluang menyaingi pasukan elit dalam kempen Piala Malaysia dan Piala FA,'' katanya, semalam.

Khalid antara pemain berpengalaman yang disandarkan harapan untuk membawa Kelantan muncul sebagai pasukan elit dalam saingan bola sepak tempatan.

Turut menarik minat Kelantan ialah rakan sepasukan Khalid di Perak, Ahmad Azlan Zainal dan pemain berpengalaman yang beraksi untuk Terengganu pada musim lalu, Che Hishamuddin Hassan.

Selain bintang veteran, skuad Kelantan turut menyambar bintang muda, Norfarhan Mohd. dan Daudsu Jamaluddin.

Pasukan Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat jurulatih dari England, Peter James Butler yang pernah melatih Sabah, pasukan Liga S di Singapura dan Liga Indonesia.

''Sebagai pemain profesional tidak salah saya berhijrah ke pasukan lain. Ini merupakan kali kedua saya berhijrah selepas bersama Selangor selama dua musim sebelum ini,'' ujarnya.

Mengenai prestasinya musim lalu, menurut Khalid, dia tetap berpuas hati ketika bersama Perak walaupun dibelenggu kecederaan di pertengahan musim.

''Saya hanya sempat beraksi dalam skuad utama di awal musim dan selepas itu terpaksa bergelut dengan masalah kecederaan.

''Setelah pulih agak sukar untuk saya kembali ke dalam pasukan namun masih berupaya menjaringkan 23 gol.

''Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama pasukan kebangsaan akan saya curahkan untuk membantu Kelantan mencapai cita-cita menjadi pasukan yang dihormati,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50rmzvJAX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Piala AFC: Kedah, Perak cemerlang



ARKIB : 12/03/2008

KUALA LUMPUR – Kedah dan Perak memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan cemerlang apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Perak mencatat kemenangan selesa 3-1 atas kelab Maldives, New Radiant, yang bermain dengan sepuluh pemain dalam Kumpulan C di tempat lawan.

Manakala juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah mengutip tiga mata penuh apabila menumpaskan wakil Maldives, Victory SC 1-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Darulaman, Alor Star.

Di Maldives, Perak ketinggalan menerusi jaringan Daniel Mbock pada minit ketujuh namun bangkit dengan jaringan penyamaan Carlos Caceres seminit kemudian.

Tuan rumah terpaksa beraksi di sepanjang babak kedua dengan 10 pemain apabila Mohamed Shifan dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-34.

Tiga minit kemudian Khalid Jamlus meletakan Perak 2-1 di depan hasil kesilapan Ibrahim Amil dengan rembatan deras.

Di Alor Star, kemenangan Kedah menjelma pada minit ke-48 menerusi Fauzi Shaari.

Kedah, juara tiga piala musim lalu memulakan perlawanan dengan berhati-hati, selepas tewas 0-2 pada pusingan pertama Piala FA di tangan PKNS Selangor.

Penyerang Marlon Alex James, yang menjaringkan 18 gol dalam Liga Super dikawal ketat pertahanan pelawat sehingga sukar melakukan percubaan.

Merembat

Namun Kedah masih dapat melancarkan beberapa peluang gol pada minit ke-14 menerusi pemain tengah Shafiq Jamal yang merembat deras namun berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Imran Mohamed.

Tiga minit sebelum rehat, Kedah di depan apabila Fauzi Shaari menyambar hantaran silang Badrol Bakhtiar dengan rembatan deras ke gawang.

Jaringan tersebut memaksa pelawat menukar corak permainan untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng Kedah kental bertahan mengelak gol dibolosi.

Perlawanan menjadi semakin tegang menyebab empat pemain Kedah dilayangkan kad kuning, manakala jurulatih Mohd Azari Khor turut diarah meninggalkan tempat duduki pemain.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ypECcrBA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khalid, Kit Kong timba ilmu Rush



ARKIB : 06/03/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Penjaring terbanyak kategori tempatan dalam Liga Super dan Liga Perdana, Khalid Jamlus bersama Liew Kit Kong serta empat penjaga gol diundang menyertai Klinik Khas Bola Sepak bersama bekas penyerang Liverpool dan Wales, Ian Rush dari 24 hingga 26 Mac ini.

Bekas pemain kebangsaan yang menyumbat 13 dan 12 gol setakat ini selain penjaga gol, Helmi Eliza Elias, Syed Adney Syed Hussein, Farizal Marlias dan Farizal Harun bakal mendapat tunjuk ajar dan petua Rush dalam klinik di Kompleks Sukan Negara Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Mereka berdua tidak tersenarai menjalani latihan pusat skuad negara yang memasuki kem dari 3 hingga 6 Februari lalu tetapi pernah menjadi tonggak serangan kepercayaan bekas jurulatih negara dari Hungary, Bertalan Bicskei ketika Piala Tiger (kini Kejohanan AFF) pada 2004-2005.

Jurulatih negara, B. Sathianathan berkata, turut diundang ialah 21 lagi pemain yang dikenal pasti berdasarkan prestasi sepanjang Liga Malaysia musim 2007-2008 ini iaitu penyerang negara, Safee Sali, Zaquan Adha Radzak, Indra Putra Mahayuddin dan Khyril Muhymeen Zambri.

Klinik ilham Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin itu bakal membuka peluang pemain tempatan khususnya penyerang negara mengasah kemahiran dan sentuhan jaringan mereka dengan Rush yang menyumbat 346 gol untuk Liverpool dan 28 gol bagi Wales dari 1980-1987 dan 1988-1996.

"Klinik ini tidak terhad kepada penyerang sahaja, malah tonggak tengah dan penjaga gol seperti S. Kunanlan, Shafiq Jamal, Amirulhadi Zainal dan Eddy Helmi Manan atau Syed Adney (juga kelahiran Liverpool) berpeluang menimba ilmu dan rahsia daripada Rush," kata Sathianathan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad, pasukan pemain yang terpilih dan diundang menyertainya mesti mengesahkan penyertaan mereka kepada pihaknya sebelum 15 Mac ini.

"Mereka hendaklah melaporkan diri kepada penolong jurulatih negara, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad pada pukul 3 petang 23 Mac ini," katanya yang memberi kelonggaran kepada pemain Perak dan Kedah untuk datang pukul 9 pagi, sehari kemudian kerana terlibat dengan perlawanan Liga Super.

Katanya, jurulatih-jurulatih tempatan turut diundang untuk menyertai klinik selama tiga hari itu tetapi segala perbelanjaan perlu ditanggung sendiri.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yn0iDjQ4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 November 2017

Rekod Kedah tercalar

ARKIB : 02/03/2008
PENYERANG Perak, Khalid Jamlus (tiga dari kiri) melompat mendapatkan bola sambil diasak dua pemain Perlis dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. – Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR – Deretan kemenangan yang dicatat pendahulu Liga Super, Kedah akhirnya menemui titik noktah apabila diikat Negeri Sembilan Naza 1-1 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abd. Rahman Paroi, semalam.

Walaupun mendahului tuan rumah menerusi jaringan Marlon Alex James pada minit ke-65, Kedah terpaksa akur dengan jaringan penyamaan Negeri Sembilan menerusi Lamin Conteh di masa kecederaan.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rekod sembilan kemenangan berturut-turut Kedah yang tidak pernah kalah atau seri sejak 1 Januari lalu.

Kali terakhir Kedah gagal mencatat kemenangan ialah ketika tewas 0-2 kepada Brunei di tempat lawan.

Kedah bagaimanapun masih kekal sebagai pendahulu liga dengan 38 mata tetapi Perak semakin menghampiri dengan 34 mata selepas menang 2-0 ke atas Perlis di Stadium Perak.

Dua gol dalam setiap babak menerusi Carlos Caceres (m-27) dan Khalid Jamlus (m-66) cukup untuk melonjakkan Perak ke tangga kedua liga dengan memintas Selangor.

Selangor bermain agak lewat malam tadi ketika menentang Terengganu berikutan lampu limpah di Stadium Shah Alam mengalami kerosakan.

Begitu pun perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan sekali gus menyaksikan terSelangor paksa menghuni tangga ketiga liga.

Pasukan yang mencatat kemenangan paling selesa semalam ialah Johor FC yang membelasah Pulau Pinang 4-0 di Stadium Pasir Gudang.

Gol-gol Johor FC dijaringkan Eddy Helmy (m-2), Walter Ariel Silva (m-12), Mohd. Riduwan Maon (m-67) dan Mohammad Ezaidy Mohd. Khadar (m-86).

Pahang turut mencipta kemenangan dengan menewaskan UPB-MyTeam 2-0 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

Dua gol dalam masa tiga minit hasil jaringan R. Surendran (m-80) dan Hairuddin Omar (m-83) membolehkan Pahang meraih tiga mata berharga.

Brunei DPMM pula gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila hanya mampu seri 2-2 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

PDRM selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Nanthakumar (m-6) dan Hillary Echesa (m-17) sebelum Brunei bangkit dengan dua gol Sharazin Said (m-24) dan Didier Belibi (m-76).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ykY5yeyp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 15 Oktober 2017

Nanthakumar popular, Azraai jurulatih pilihan



ARKIB : 10/09/2007

Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan K. Nanthakumar walaupun gagal membantu Perak meraih sebarang trofi musim 2006-07, dipilih oleh para peminat bola sepak negara sebagai pemain paling popular manakala Mohd. Azraai Khor Abdullah yang memimpin Kedah menjuarai tiga trofi menjadi jurulatih pilihan.

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Dua anugerah untuk penjaring terbanyak turut dirangkul oleh pemain Perak iaitu Khalid Jamlus bagi kategori tempatan dengan 15 gol manakala Keita Mandjou bagi pemain import dengan 21 gol.

Khalid turut memenangi hati sebilangan besar pengundi apabila terpilih sebagai penyerang pilihan, mengalahkan penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli dan penyerang Kedah, Hasmawi Hassan.

Kedah, yang memenangi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia menyaksikan tiga pemainnya merangkul anugerah lain.

Mohd. Helmi Eliza Elias dipilih sebagai penjaga gol pilihan manakala ketua pasukan Victor Andrag terpilih sebagai pemain pertahanan pilihan, mengalahkan pemain kebangsaan Norhafiz Zamani Misbah dan Nantha Kumar.

Seorang lagi pemain Kenari, Marlon James dari St. Vincent & The Grenadines terpilih sebagai pemain import paling berharga.

Pemain tengah kebangsaan dan Selangor, Mohd. Shukor Adan memenangi anugerah pemain tempatan paling berharga.

Ini merupakan kali kedua anugerah ini diadakan dan pemilihan pemenang, kecuali penjaring terbanyak, dibuat berdasarkan undian peminat-peminat menerusi SMS.

Sebanyak lima nama dicalonkan oleh pihak penganjur untuk pusingan awal manakala tiga ke peringkat akhir

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vZRbzj00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak, Kedah berentap di final

ARKIB : 05/09/2007
Pemain Kedah Nelson Sam Martin (dua dari kanan) menyempurnakan sepakan penalti menentang Terengganu di Alor Star, malam tadi. – Gambar ISMAIL KAMADIN.

KUALA LUMPUR – Dua gol menerusi bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berjaya membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke-18 selepas menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Perak, semalam.

Jaringan Khalid pada minit ke-10 dan 39 itu sudah cukup untuk membolehkan Perak menempah pertemuan dengan Kedah bagi penentuan juara pada Sabtu ini.

Perak layak menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Tawau, minggu lalu.

Kedah pula layak selepas menewaskan Terengganu 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Ternyata kelebihan beraksi di depan 25,000 penyokong sendiri digunakan sepenuhnya Perak untuk lebih dulu mendahului apabila Khalid yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hantaran lintang Yusri Che Lah hanya selepas 10 minit permainan bermula.

Bagaimanapun, Sabah tidak gelabah sebaliknya, mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk menyamakan kedudukan menerusi Zulamri Mohd. pada minit ke-32.

Gol yang seakan serupa dengan gol Khalid terhasil selepas Jul Amri menanduk masuk hantaran silang Zainizam Marjan.

Begitu pun, Perak hanya memerlukan tujuh minit selepas itu untuk kembali di depan apabila Khalid mudah menyambut bola muntah selepas penjaga gol Sabah, Irwan Jamil gagal menampan kemas sepakan kencang Yusri.

Namun, di sebalik kegagalan Irwan menyekat dua gol itu, Sabah harus berterimakasih kepadanya kerana menyelamatkan percubaan berbahaya Perak pada minit ke-21 dan 30.

Babak kedua, tiada gol berjaya dijaringkan dengan Sabah lebih banyak menguasai permainan tetapi sukar menembusi pertahanan Perak yang diketuai K. Nanthakumar.

Jika Khalid muncul wira buat Perak, lain pula nasib yang menimpa ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof apabila kesilapannya menghadiahkan dua gol mudah untuk Kedah mencatat kemenangan 2-0.

Gol pertama Kedah berpunca apabila Marzuki dilihat mengkasari dengan cuba menarik Marlon Alex James dalam kotak penalti.

Pengadil, Shokri Nor kemudiannya tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan dengan baik Nelson Sam Martin pada minit ke-4.

Marzuki sekali lagi menjadi punca kepada gol kedua Kedah pada minit ke-29.

Kawalan bola Marzuki yang longgar berjaya dihidu Hasmawi Hassan yang bijak merampasnya sebelum melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti.

Babak kedua permainan, Kedah yang turut mendapat sokongan moral daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan 38,000 penyokongnya mengendurkan asakan.

Bagaimanapun, Terengganu masih gagal mengambil kesempatan untuk mencipta gol sehingga tamat permainan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vYoRCZ7y
© Utusan Melayu (M) Bhd