Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus
Kuala Lumpur: Dugaan demi dugaan terus menimpa bekas penyerang terbaik negara, Khalid Jamlus apabila anaknya disahkan dijangkiti Covid-19.
Menerusi luahan di Story Facebook miliknya, pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia 2002 itu memohon doa dari rakyat Malaysia agar anaknya cepat sembuh daripada penyakit itu.
"Assalamualaikum. Mohon doakan anak saya sembuh dari Covid-19.
"Allahuakhbar dugaan dugaan. Ya Allah sembuhkan anakku Ya Allah," catatnya di laman sosial.
Catatan Khalid di Facebook story
Minggu lalu, bekas pemain Perak, Selangor dan Kelantan itu terpaksa menutup perniagaan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api yang diusahakannya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat.
Khalid yang baru mengusahakan gerai itu pada September tahun lau turut mengakui terpaksa menanggung kerugian hampir RM8,000.
Sebelum itu pula, pada awal tahun lalu dia terpaksa melepaskan pelbagai koleksi berharganya sepanjang bergelar pemain profesional berikutan kesempitan hidup selepas hampir tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 ketika membantu skuad Kejor Yob Kejor itu menjuarai saingan Liga Perdana (sekarang dikenali Liga Super) waktu itu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akhirnya berkenan membelinya pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak hujung tahun lalu.
Disiarkan pada: Julai 2, 2021 @ 8:14pm.1
____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725612/anak-khalid-jamlus-disahkan-covid-19