Jumaat, 12 Februari 2021

Singgah Sijangkang nikmati daging salai Khalid Jamlus



KHALID Jamlus (tengah) dan pekerjanya di hadapan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Batu 7 Sijangkang, Kuala Langat, Selangor hari ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

28 Januari 2021, 9:30 am

KUALA LANGAT: Dahulu, nama Khalid Jamlus dikenali dengan kehebatan beraksi di padang bola sepak.

Namun, siapa sangka, kini bekas penyerang bola sepak negara itu memfokuskan untuk memajukan gerai daging salai masak lemak cili api yang terletak di Lepak Court Batu 7, Sijangkang di sini.

Khalid,43, atau nama sebenarnya Muhamad Khalid Jamlus berkata, dia enggan lagi menoleh ke belakang dan kini tekad meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak tiga bulan lalu yang merupakan hasil jualan kasut emas dan barangan peribadinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pemilihan menu itu berikutan ayah dan keluarga isterinya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Saya tidak mahu terus terpalit dengan isu kasut emas yang diperoleh selepas menjadi penjaring terbanyak sebelum ini.

Hasil jualan tersebut saya membayar hutang dan mengusahakan gerai ini dengan berbekalkan pengalaman berniaga sebelum ini serta kemahiran memasak daripada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas Khalid pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan penyerahannya diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang.

Kasut emas dimiliki Khalid selepas meledak 17 gol ketika bersama Perak.

Dalam pada itu, Khalid yang dianggap legenda bola sepak Perak dan pernah menyarung jersi Selangor dari 2005 hingga 2006 itu berkata, selepas kasut emasnya dijual, ada pihak yang menawarkan untuk mengemudi satu pasukan.

Pihak terbabit menjanjikan tawaran sebagai jurulatih tahun lalu. Namun, sehingga kini diam tanpa khabar berita.

Saya sudah berhenti berharap dan mahu meneruskan hidup dan mengukuhkan kewangan keluarga,” ujarnya.

Tambah Khalid, dia bersyukur apabila sambutan diterima setakat ini terhadap jualan gerainya amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan.

Saya kini berhasrat memajukan lagi tapak gerai ini bersama pemilik Lepak Court, Tafsir Asmawi. Saya juga bercadang menambah cawangan gerai tersebut di beberapa lokasi lain dalam mengukuhkan perniagaannya.

Malah, impian untuk mengikuti kursus kejurulatihan kelas A masih ada namun buat masa ini terpaksa ditangguhkan kerana kos kursus dianggarkan RM6,000.

Saya rasa ketika ini adalah lebih baik wang berkenaan di­laburkan dalam memajukan perniagaan sedia ada,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Rabu, 3 Februari 2021

Khalid Jamlus simpan hasrat teruskan kerjaya bola sepak




Oleh Ruwaida Md Zain - Februari 3, 2021 @ 4:29pm

bhnews@bh.com.my

Bekas penyerang bola sepak negara, Khalid Jamlus memasak daging salai masak lemak cili api, menu utama di gerainya - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

KUALA LANGAT: Biarpun kini sibuk mengusahakan kedai makanan Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Lepak Court Batu 7, Sijangkang, di sini, bekas pemain bola sepak negara Khalid Jamlus tetap menyimpan hasrat meneruskan kerjaya dalam bidang sukan itu.

"Sekiranya ada tawaran dalam bidang bola sepak, kenapa tidak saya teruskan sebab itu kepakaran dan kemahiran saya.

"Cuma sekarang tidak diberi peluang dan ruang kepada saya. Jadi bagaimana nak teruskan serta berkongsi ilmu kemahiran saya dengan barisan pelapis muda. Liga 1 Liga 2, jika ada peluang pasti saya nak masuk balik," katanya ketika ditemui di gerainya semalam.

Buat masa ini, katanya, beliau menumpukan kepada perniagaan baharunya itu dan berharap ia akan bertambah maju.

Sebelum ini Khalid atau nama sebenarnya Mohd Khalid Jamlus dilanda kontroversi berkaitan masalah kewangan sehingga terpaksa menjual menjual segala koleksi peribadi seperti jersi, medal, kasut emas, bekas penyerang negara itu kini tidak mahu menoleh ke belakang.

Menceritakan permulaan beliau membuka gerai daging salai masak lemak itu, Khalid berkata segalanya bermula secara tidak dirancang.

"Segalanya bermula ketika saya dalam perjalanan dari Telok Panglima Garang, ternampak Lepak Court dan sekadar singgah untuk berhenti makan sebab saya lihat ramai pengunjung.

"Sambil makan, saya perhatikan keadaan gerai di situ, ada satu yang kosong dan kebetulan, sempat berbual dengan beberapa individu termasuk pemilik Lepak Court, Haji Tafsir Asmawi. Idea datang secara tiba-tiba ketika itu.

"Jadi timbul idea buka gerai dengan modal yang ada, malah saya juga bernasib baik ada sepasang suami isteri di situ menawarkan diri untuk membantu perniagaan saya nanti. Dari situ tercetus idea Gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api," katanya.

Katanya, dari kerjaya bola sepak, beliau tidak pernah terlintas di fikiran akan memiliki sebuah gerai daging salai itu.

Katanya, apa yang bermain di fikiran adalah mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi dengan hasil yang diperoleh itu.

Namun, katanya, takdir Allah membuka jalan rezeki yang tidak disangka kepada beliau melalui masakan tradisi negeri kelahiran ayahnya sejak September tahun lalu.

Khalid berkata selepas kira-kira dua bulan merancang, berbincang, tambah baik resipi masakan, secara rasmi gerai dibuka pada September sehingga kini.

"Saya minta bantuan tunjuk ajar beberapa chef, keluarga, saudara mara serta rakan-rakan yang mahir dalam bidang masakan sebab saya masih dalam bidang pembelajaran. Selepas beberapa kali percubaan, apabila dapat rasa yang betul-betul sedap dan memuaskan, saya mula berniaga.

"Tapi saya masih lagi belajar dan belajar, menambah baik masakan dan resipi malah selain masak lemak cili api, siakap goreng rangup, siakap berlada pun saya hidangkan," katanya.

Katanya, walaupun tidak mendatangkan keuntungan dalam beberapa bulan awal, beliau tidak tidak putus asa dan berkat kesabaran, gerai itu kini mula dikenali ramai.

"Pada Disember, kali pertama dapat untung berniaga di sini, ini rezeki Allah untuk saya dan berkat kesabaran Alhamdulillah, gerai saya juga mula viral, ramai pelanggan, kawan, sahabat, datang bantu beri sokongan.SUMBER-BH ONLINE