Khamis, 20 Disember 2018

Periuk nasi saya terjejas – Khalid Jamlus

ARKIB : 21/05/2010 
KHALID JAMLUS
NAMA Khalid Jamlus kembali hangat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak merestui perpindahan bekas penyerang kebangsaan itu ke T-Team, kelmarin. Alasannya mudah, perpindahan Khalid dari ATM ke T-Team tidak mengikut peraturan kerana pemain itu didaftarkan untuk pasukan ATM musim ini.
Lantaran itu, Khalid tidak boleh mewakili mana-mana pasukan kecuali ATM, namun agak pelik kerana kontraknya bersama ATM telah ditamatkan.

Kecewa, bingung dan tidak tahu ke mana lagi haluan yang harus dibawa. Itu luahan Khalid sejurus ditanya situasi semasa, ekoran keputusan FAM kelmarin.

Berikut adalah temu bual wartawan Utusan Malaysia, Sayed Hesham Idris dengan Khalid mengenai kemelut terbaru yang dialaminya.

Utusan: Apa yang anda dapat katakan mengenai keputusan FAM tidak membenarkan anda menyertai T-Team?

–– ADVERTISEMENT ––


Khalid: Amat kecewa... Saya sudah sebulan menjalani latihan persediaan bersama pasukan T-Team. Namun, kelmarin FAM tidak membenarkan saya mengikat kontrak. Segala persediaan bersama pasukan T-Team sia-sia.

Apakah anda keliru dengan alasan FAM bahawa anda hanya boleh beraksi untuk ATM, sedangkan kontrak anda sudah ditamatkan?

Khalid: Peraturan kelab ada menyebut saya boleh menyertai mana-mana pasukan jika kontrak saya ditamatkan. Saya tidak tahu peraturan FAM tidak membenarkan saya menyertai kelab lain selepas kontrak saya dengan ATM ditamatkan.

Apa tindakan anda seterusnya?

Khalid: Saya belum ada apa-apa cadangan. Cuma saya mahu bermain bola sepak, meneruskan karier. Ini rezeki saya. Bola sepak periuk nasi saya. Saya perlu menyara keluarga. Musim ini saya belum beraksi walau dalam satu perlawanan pun.

Apa yang dapat anda katakan mengenai keputusan FAM kelmarin?

Khalid: Saya tidak tahu apa salah saya sehingga tidak dibenarkan beraksi. Saya bukannya melakukan kesalahan serius sehingga tidak dibenarkan ke pasukan lain. Saya bukan mengambil dadah, juga bukan menjual perlawanan.

Saya hanya mahu meneruskan karier.

Tidak dapat meneruskan karier bermakna anda tiada pendapatan, bagaimana kehidupan anda sekarang?

Khalid: Saya ibarat sudah tiada ruang lagi untuk bernafas. Ada sahaja halangan untuk saya meneruskan karier. Ini menyekat periuk nasi saya. Namun, apa yang berlaku sama sekali tidak membunuh karier saya. Saya masih mahu bermain. Mungkin untuk dua atau tiga tahun lagi
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5aDlGPqdA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 19 Disember 2018

T-Team harap dapat turunkan Khalid


ARKIB : 03/05/2010
KUALA TERENGGANU - T-Team barharap dapat menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus apabila menentang Negeri Sembilan di Paroi, Sabtu ini.

Pengurus T-Team, Rosdi Awang berkata, permohonan telah pun dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihaknya mengharap keputusan segera dibuat FAM berhubung perkara itu.

Penyerang itu mengikat kontrak dengan pasukan T- Team untuk bermain dalam liga tersebut, Jumaat lepas.

Rosdi berkata, langkah T-Team itu juga bertujuan untuk mencukupkan kuota T-Team, selain memberi peluang pemain itu menghidupkan semula bakatnya supaya tidak terus berkubur setelah disingkirkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita harap Khalid akan buktikan kemampuannya dan seterusnya melonjak T-Team ke tempat yang terbaik dalam carta Liga Super musim ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5a8Sq7fQ6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 17 Disember 2018

Khalid Jamlus perkuat serangan T-Team

ARKIB : 01/05/2010
 SETIU - T-Team melahirkan keyakinan pasukan berstatus kelab itu akan berada pada kedudukan selesa dalam Liga Super, seterusnya melangkah ke Piala Malaysia dengan penyertaan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kehadiran Khalid sebagai penyerang berpengalaman, dijangka dapat menyelesaikan masalah penyudah tumpul skuad itu.

''Prestasi pasukan setakat ini turun naik. Apabila kami bertemu pasukan kuat, kami menghadapi kesukaran dalam mencari penyudah.

''Pasukan ini sememangnya sudah mantap namun dengan kehadiran Khalid, ia akan dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan," katanya ketika ditemui di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, pemain yang baru menamatkan kontrak dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dijangka memberi nafas baru kepada T-Team.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan hasrat untuk mengambil Khalid sebagai pemain T-Team dan kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Kontrak pemain itu bergantung kepada kelulusan FAM dan kami bercadang menggunakan khidmat Khalid sehingga ke penghujung musim ini, dan sambungan kontraknya akan bergantung kepada penilaian dari semasa ke semasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid memberi jaminan akan memberikan yang terbaik dalam membantu hasrat T-Team untuk berada di kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5a0GNpPib
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Kelantan mungkin kehilangan Khalid Jamlus


 


ARKIB : 19/10/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
IBU pengantin perempuan, Datin Zizah Ngah (kiri) menepung tawar Khalid Jamlus dan isterinya, Zarina Zakaria di Klang, semalam. - UTUSAN/RASMI ABDULLAH

KOTA BHARU - Kelantan mungkin kehilangan penyerang utamanya, Khalid Jamlus dalam pertembungan kedua-dua saingan suku akhir Piala Malaysia menentang KL PLUS termasuk ketika berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok

Ia disebabkan bekas penyerang kebangsaan itu baru sahaja melangsungkan perkahwinannya di Selangor semalam.

Bagaimanapun ketiadaan Khalid tidak menggoyahkan persiapan skuad Kijang, malah B. Sathianathan menegaskan beliau mempunyai pengganti untuk mengisi kekosongan Khalid.

"Saya belum pasti sama ada akan menurunkan Khalid pada perlawanan Selasa ini (esok) kerana dia tidak dapat turun latihan disebabkan melangsungkan perkahwinannya. Apa pun, bagi perlawanan Selasa ini peluang untuk menurunkannya masih ada tetapi untuk perlawanan kedua di Kota Bharu Sabtu ini kemungkinan besar dia tidak dapat diturunkan disebabkan ia serentak dengan majlis persandingannya di Perak pula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Apa pun, Sathianathan berkata, beliau telah menyediakan program khas untuk Khalid menjalankan latihan sendirian dalam tempoh cuti kahwin itu disebabkan penyerang utama tidak dapat bersama dengan pasukan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, biar pun tanpa Khalid persiapan pasukan itu untuk menghadapai KL PLUS berjalan dengan lancar dan beliau sedang mencongak strategi untuk mencari pengganti Khalid.

"Ketiadaan Khalid tidak membimbangkan disebabkan kita ada beberapa pemain yang boleh mengisi posisi tersebut seperti Mohd. Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin tetapi Indra ada sedikit kecederaan.

"Siapa yang akan diturunkan ada tugasan yang penting untuk menggalas watak penyerang utama ini," katanya.

Dalam padi itu, beliau turut menghormati KL PLUS kerana pasukan itu diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Rosid Talib dan Mohd. Lot Abu Hassan.

"Penampilan KL PLUS kali ini berbeza dengan saingan Liga Super kerana mereka diperkuatkan dengan beberapa pemain dari T-Team yang berpengalaman.

"Saya akan sedang melihat strategi yang sesuai untuk pertemuan ini tetapi bagi saya mudah, jika pemain dapat lakukan dengan betul pada latihan sudah pasti mereka akan dapat lakukan dengan betul juga pada perlawanan itu," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YbVfWRPK
© Utusan Melayu (M) Bhd